Jumaat, 5 September 2008

AQIDAH MUSLIMIN

Teks asal bagi risalah akidah ini telah diakui dan dicop dengan cop rasmi oleh Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar al-Sharif setelah diteliti

AQIDAH MUSLIMIN

1. Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu agama yang (hukum mempelajarinya) fardu ain?

Jawapan: Setiap mukallaf diwajibkan mempelajari suatu kadar ilmu agama yang dia perlu yang terdiri daripada akidah, bersuci, solat, puasa, zakat bagi orang diwajibkan untuk mengeluarkannya, haji bagi orang yang berkemampuan, maksiat-maksiat hati, tangan, mata dan sebagainya. Allah تعالى berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad) tidaklah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui". (Surah al-Zumar: 9)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Menuntut ilmu agama (yang daruri atau teras itu) adalah wajib ke atas setiap muslim".

(Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi)

2. Apakah hikmah penciptaan jin dan manusia?

Jawapan: Untuk diperintahkan oleh Allah supaya beribadah kepada-Nya. Allah تعالى berfirman:

"dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah-Ku". (Surah al-Dharriyyat: 56)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Hak Allah ke atas para hamba hendaklah mereka beribadah kepada-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

3. Bagaimanakah ibadah menjadi sah?

Jawapan: Beribadah kepada Allah menjadi sah apabila dilakukan oleh orang yang meyakini kewujudan Allah dan tidak menyamakan atau menyerupakan-Nya dengan sesuatu apapun dari makhluk-Nya. Allah تعالى berfirman:

"Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)". (Surah al-Shura: 11)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Tidak boleh berfikir (membayangkan) tentang Allah". (Diriwayatkan oleh Abu`l-Qasim al-Ansari)

Al-Ghazali berkata:

"Ibadah tidak sah kecuali selepas mengetahui (Allah yang wajib) disembah".

4. Kenapa Allah mengutus para rasul?

Jawapan: Allah telah mengutus para rasul untuk mengajar manusia tentang kemaslahatan agama mereka dan dunia mereka, dan untuk mengajak manusia supaya menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Allah تعالى berfirman:

"..maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan". (Surah al-Baqarah: 21)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Perkataan paling utama yang aku dan para nabi sebelumku mengungkapkannya ialah لا إله إلا الله (Tiada tuhan yang wajib disembah melainkan Allah)". (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan selainnya)

5. Apakah erti Tauhid?

Jawapan: Al-Imam al-Junayd berkata:

"Tauhid ialah menyucikan (Allah) al-Qadim (Yang Maha Sedia Ada tidak mempunyai permulaan) dari (menyerupai makhluk-Nya) yang baharu (ada yang didahului dengan tiada dan ada permulaan). (Diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi)

Allah تعالى berfirman:

"Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)". (Surah al-Shura: 11)

Suatu ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم ditanya tentang amalan yang paling utama, lalu Baginda صلى الله عليه وسلم menjawab:

"Keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

6. Bincangkan tentang kewujudan Allah.

Jawapan: Allah ada yang tiada sebarang keraguan pada kewujudan-Nya. Adanya Allah tanpa kayf (bagaimana, bentuk atau cara) [Persoalan bagaimana atau cara hanya layak diajukan tentang sifat makhluk kerana ia merujuk kepada suatu bentuk, pergerakan dan perubahan sifat. Oleh itu, Allah Maha Suci dari sebarang persoalan bagaimana kerana ia melibatkan sifat makhluk.], tanpa tempat, tanpa arah atau ruang dan tidak menyamai suatu pun daripada makhluk-Nya serta tiada suatu pun daripada makhluk-Nya yang menyerupai-Nya.

Allah تعالى berfirman:

"Tiada keraguan akan adanya Allah". (Surah Ibrahim: 10)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Allah ada (azali yakni ada tanpa permulaan) dan tiada sesuatu pun selain-Nya". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya)

7. Apakah makna firman Allah تعالى dalam Surah al-Hadid ayat 4)?

Jawapan: Maknanya ialah Allah mengetahui tentang kamu di mana pun kamu berada seperti yang dikatakan oleh al-Imam Sufyan al-Thawri, al-Imam al-Shafi^i, al-Imam Ahmad, al-Imam Malik dan selain mereka.

Allah تعالى berfirman:

"Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu". (Surah al-Talaq: 12)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"janganlah kamu memaksa diri untuk mengeraskan suara kerana kamu bukanlah berdoa kepada Zat yang tuli dan ghaib, sesungguhnya kamu berdoa kepada Zat yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat (secara maknawi bukan fizikal). (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Makna hadis ini ialah tiada sesuatu pun yang tersembunyi dari Allah.

8. Apakah dosa yang paling besar?

Jawapan: Dosa yang paling besar ialah kufur. Perkara yang termasuk dalam kekufuran ialah syirik. Makna syirik ialah menyembah selain Allah. Allah تعالى berfirman tentang Luqman, bahawa Luqman berkata:

"…Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya penyekutuan (terhadap Allah) itu adalah kezaliman yang amat besar". (Surah Luqman: 13)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah ditanya tentang dosa yang paling besar, lalu Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Apabila engkau mengadakan suatu sekutu bagi Allah sedangkan Dia telah menciptakanmu". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya).

9. Apakah makna ibadah?

Jawapan: Ibadah adalah kemuncak ketundukan dan ketaatan sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Subki.

Allah تعالى berfirman:

"Tiada Tuhan yang wajib disembah kecuali Aku (Allah), maka beribadahlah (sembahlah) kepada-Ku". (Surah al-Anbiya': 25)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Hak Allah ke atas para hamba ialah mereka hendaklah beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan sesuatu pun dengan-Nya". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

10. Adakah perkataan الدعاء boleh diertikan dengan makna ibadah?

Jawapan: Ya, Allah تعالى berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya aku hanyalah beribadah kepada Tuhanku dan tidak menyekutukan-Nya dengan seorang pun". (Surah al-Jinn: 20)

Allah تعالى berfirman:

"Maka janganlah kamu beribadah kepada seseorang bersama Allah". (surah al-Jinn: 18)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Doa adalah ibadah". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

11. Adakah perkataan الدعاء boleh diertikan dengan selain daripada makna ibadah?

Jawapan: Ya, Allah تعالى berfirman:

"Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain". (Surah al-Nur: 63)

12. Apakah hukum memanggil atau menyeru (النداء) seseorang nabi atau wali meskipun bukan di hadapan mereka, dan apakah hukum meminta daripada seseorang nabi atau wali akan sesuatu yang dari segi kebiasaannya tidak berlaku ?

Jawapan: Perkara sedemikian boleh dilakukan kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dianggap peribadatan atau penyembahan kepada selain Allah. Ucapan "wahai Rasululallah!" semata-mata bukanlah penyekutuan dengan Allah. Ini kerana telah thabit bahawa Bilal ibn al-Harith al-Muzani رضي الله عنه (seorang sahabat Baginda صلى الله عليه وسلم) mendatangi maqam (kubur) Rasulullah صلى الله عليه وسلم ketika tahun kemarau pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar ibn al-Khattab رضي الله عنه. Kemudian Bilal berkata:

"Wahai Rasulullah! Mohonlah (kepada Allah ta'ala) agar air hujan diturunkan untuk umatmu, kerana sesungguh mereka telah mengalami bencana". (Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dan selainnya).

Amalan Bilal di atas sama sekali tidak diingkari oleh Sayyidina Umar dan selain beliau, bahkan mereka menilai perbuatan tersebut sebagai amalan yang baik.

Allah تعالى berfirman:

"Sesungguhnya jika mereka ketika menzalimi diri sendiri (dengan berbuat dosa) kemudian mereka mendatangimu lalu memohon keampunan kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan keampunan buat mereka, nescaya mereka mendapati bahawa Allah adalah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang". (Surah al-Nisa': 64)

Telah thabit bahawa Ibn ^Umar رضي الله عنهما telah berkata: يا محمد yang bermakna: "Wahai Muhammad!" ketika beliau mengalami kelumpuhan di kakinya, selepas itu beliau sembuh. Peristiwa ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad.

13. Jelaskan makna istighathah dan isti^anah dengan dalil.

Jawapan: Istighathah bererti meminta pertolongan ketika kesempitan atau kesulitan, manakala makna isti^anah lebih umum dan luas.

Allah تعالى berfirman:

"Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan sembahyang". (Surah al-Baqarah: 45)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Pada hari kiamat matahari terlalu hampir dengan kepala manusia. Ketika itu mereka meminta pertolongan kepada Nabi Adam عليه السلام". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Dalam hadis ini ada dalil bahawa meminta pertolongan kepada selain Allah taala itu boleh dilakukan tetapi wajib beriktikad bahawa tidak ada yang boleh mendatangkan bahaya dan tidak ada yang boleh memberikan manfaat secara hakikatnya kecuali Allah.

14. Bincangkan tentang tawassul dengan para nabi.

Jawapan: Tawassul dengan para nabi dibolehkan dengan ijma^ (kesepakatan) ulama. Tawassul ialah memohon kepada Allah akan kedatangan suatu manfaat (kebaikan) atau penghindaran suatu mudarat (keburukan) dengan menyebut nama seseorang nabi atau wali untuk memuliakan mereka disertai dengan iktikad bahawa hakikatnya hanya Allah sahajalah yang mendatangkan mudarat dan manfaat.

Allah تعالى berfirman:

"Kamu carilah perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri kamu dengan Allah". (Surah al-Ma'idah: 35)

Dalam satu hadis ada satu peristiwa yang disebutkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengajar seorang buta bertawassul dengan Baginda. Setelah orang buta itu bertawassul bukan di hadapan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, maka Allah mengembalikan penglihatannya semula. Hadis yang menceritakan peristiwa ini diriwayatkan oleh al-Tabrani dan beliau menghukumkan hadis tersebut sebagai sahih.

15. Bincangkan tentang tawassul dengan para wali Allah.

Jawapan: Tidak ada seorang pun di kalangan orang-orang yang berada di jalan kebenaran (Ahlu`l-Haqq) mencakupi generasi salaf dan generasi khalaf yang berlainan daripada pendapat bahawa tawassul dengan para wali itu dibolehkan.

Dalam hadis disebutkan bahawa Sayyidina Umar bertawassul dengan al-^Abbas (bapa saudara Nabi) dengan berkata:

"Ya Allah kami bertawassul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami (supaya Engkau menurunkan air hujan)". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

16. Jelaskan makna Hadis al-Jariyah [Hadis al-Jariyah sebuah hadis yang mengandungi peristiwa pertanyaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada seorang jariyah (hamba perempuan) yang telah diriwayatkan dalam pelbagai lafaz oleh beberapa ulama hadis seperti al-Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim, Bab Tahrim al-Kalam fi al-Salah, al-Imam Abu Dawud dalam kitabnya Sunan Abi Dawud, Bab Tashmit al-^Atish dan Bab fi al-Raqabati`l-Mu'minah, al-Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatta', Bab Ma Yajuz Mina`l-^Itq fi al-Riqab al-Wajibah, al-Imam al-Bayhaqi, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Hibban dan lain-lain lagi.].

Jawapan: Hadis tersebut mudtarib (suatu hadis yang diriwayatkan dengan lafaz matannya yang berbeza-beza dan saling bertentangan sehingga menjadikannya dihukumkan sebagai hadis da^if). Meskipun ada ulama yang menganggap hadis tersebut sebagai sahih, namun mereka tidak mengertikan bahawa Allah mendiami atau berada di langit.

Al-Imam al-Nawawi telah berkata dalam huraiannya terhadap hadis tersebut:

"Perkataan أين الله (di mana Allah) adalah suatu soalan tentang darjat atau kedudukan bukannya tentang tempat".

Oleh itu, makna perkataan Baginda صلى الله عليه وسلم di atas ialah: "Apakah peganganmu dari segi pengagunganmu terhadap Allah?". Selanjutnya, perkataan hamba perempuan في السماء (di langit) itu pula bermakna: "Sangat tinggi tahap pengagunganku terhadap-Nya". Oleh itu, tidak boleh berpegang bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bertanya kepada hamba perempuan tersebut tentang tempat (bagi Allah) dan tidak boleh berpegang bahawa hamba perempuan itu telah bermaksud Allah bertempat di langit.

Sayyidina Ali رضي الله عنه وكرم وجهه berkata:

"Tidak boleh dikatakan (disoalkan tentang) di mana (tempat) bagi Allah yang telah menempatkan di mana (tempat). (Disebutkan oleh Abu`l-Qasim al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah)

Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitabnya al-Fiqhu`l-Absat:

"Dia (Allah) ada (azali) sebelum (kewujudan) tempat. Dia ada (azali) dengan keadaan belum ada suatu (penciptaan) tempat dan suatu (penciptaan) makhluk yang lain, dan Dia adalah pencipta segala sesuatu".

Allah تعالى berfirman:

"Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)". (Surah al-Shura: 11)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Allah ada (azali yakni ada tanpa permulaan) dan tiada sesuatu pun selain-Nya". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya)

17. Hukum orang yang mencaci Allah adalah kafir. Jelaskan perkara ini dengan dalil.

Jawapan: Al-Qadi ^Iyad menaqalkan ijma^ (kesepakatan ulama mujtahidin) bahawa orang mencaci Allah adalah kafir meskipun dalam keadaan marah, bergurau atau hati yang tidak lapang (tidak reda dengan makian tersebut daripada ucapannya sendiri).

Allah تعالى berfirman:

"Dan jika kamu bertanya kepada mereka (tentang perkara yang mereka katakan itu), tentulah mereka akan menjawab: "sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain-main sahaja". Katakanlah (kepada mereka): "Apakah terhadap Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu boleh memperolok-olokkan! Tidak perlu kamu meminta maaf, sebenar kamu telah menjadi kafir setelah kamu beriman". (Surah al-Tawbah: 65-66)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Sesungguhnya boleh terjadi seorang hamba mengucapkan perkataan (yang memperolok-olokkan atau menghina Allah atau syariat-Nya) yang dia tidak menganggapnya sebagai bahaya, (sedangkan perkataan tersebut) akan menjerumuskannya ke (dasar) neraka (yang untuk sampai kepadanya) selama 70 tahun (diperlukan dan hanya dihuni oleh orang-orang kafir sahaja). (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi)

18. Apakah dalil yang membolehkan ziarah kubur bagi lelaki dan perempuan?

Jawapan: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Kamu ziarahilah kubur kerana sesungguhnya ziarah kubur itu mengingatkan kamu kepada kehidupan akhirat". (Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi)

19. Bagaimanakah cara untuk masuk Islam?

Jawapan: Dengan pengucapan dua kalimah syahadah disertai dengan niat masuk Islam, bukannya dengan pengucapan istighfar seperti: أستغفر الله. Jangan terkeliru dengan zahir firman Allah تعالى tentang Nabi Nuh عليه السلام bahawa Baginda bersabda:

"Maka aku berkata: "Kamu pohonlah keampunan daripada Tuhan kamu". (Surah Nuh: 10)

Ini kerana maknanya yang sebenar ialah bahawa Nabi Nuh عليه السلام telah mengajak kaum Baginda untuk masuk Islam dengan beriman kepada Allah dan Nabi-Nya Nuh عليه السلام supaya Allah mengampunkan mereka.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Aku diperintahkan untuk memerangi umat manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

20. Jelaskan hukum mengucapkan pujian buat Rasulullah صلى الله عليه وسلم?

Jawapan: Pengucapan pujian buat Rasulullah صلى الله عليه وسلم dibolehkan dengan ijma^.

Allah تعالى berfirman:

"Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) berperilaku yang agung". (Surah al-Qalam: 4)

Allah تعالى berfirman:

"..mereka memuji dan membelanya (Rasulullah)". (Surah al-A^raf: 157)

Perkataan عزّروه membawa makna memuji dan mengagungkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah seperti berikut:

"Sesungguhnya sebahagian wanita ada memuji Nabi عليه السلام di hadapan Baginda sendiri dengan kata-kata: "Oh! Betapa mulianya Muhammad sebagai seorang jiran"".

Telah thabit bahawa sangat ramai sahabat Nabi memuji Baginda seperti Hassan ibn Thabit, al-^Abbas dan selain mereka, sedangkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri tidak mengingkari perkara tersebut, bahkan Baginda menilainya sebagai perbuatan yang baik.

21. Bincangkan tentang siksaan kubur.

Jawapan: Wajib beriman dengan siksaan kubur dan hukum ini thabit dengan ijma^. Barangsiapa mengingkarinya maka dia telah kafir.

Allah تعالى berfirman:

"Neraka dinampakkan kepada mereka (orang-orang kafir pengikut Firaun) pada waktu pagi dan petang (di alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat, (dikatakan kepada malaikat): "Masukkan keluarga Firaun ke siksaan yang amat pedih". (Surah Ghafir: 46)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Kamu mohonlah perlindungan dengan dari siksaan kubur". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

22. Apakah makhluk Allah yang pertama?

Jawapan: Makhluk pertama ialah air. Allah تعالى berfirman:

"Dan kami telah menjadikan segala sesuatu yang hidup daripada air". (Surah al-Anbiya': 30)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

Maknanya: "Setiap sesuatu diciptakan daripada air". (Diriwayatkan oleh Ibn Hibban)

23. Bincangkan tentang bahagian-bahagian bid^ah dan apakah dalil yang menunjukkan bahawa bid^ah hasanah itu ada?

Jawapan: Bid^ah dari segi bahasa ialah setiap perkara yang diadakan tanpa ada contoh sebelumnya, manakala dari segi istilah pula bid^ah terbahagi kepada dua, iaitu bid^ah huda dan bid^ah dalalah.

Allah تعالى berfirman:

"…dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah sedangkan kami tidak mewajibkannya kepada mereka melainkan (mereka sendiri yang mengada-adakannya) untuk mencari keredaan Allah”. (Surah al-Hadid: 27)

Allah memuji perbuatan para pengikut Nabi Isa عليه السلام yang muslim kerana mereka menjauh dan memutuskan diri mereka daripada kesukaan nafsu syahwat yang tidak diwajibkan ke atas mereka semata-mata kerana menagih keredaan Allah.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Barangsiapa yang merintis (memulai) dalam Islam suatu perbuatan yang baik, maka dia mendapat pahala perbuatan tersebut dan pahala orang-orang yang melakukan perbuatan itu selepasnya". (Diriwayatkan oleh Muslim)

Para sahabat Nabi dan generasi muslim selepas mereka banyak melakukan perkara-perkara baru yang baik dalam agama dan umat Islam menerima perkara itu seperti membina mihrab (tempat sembahyang imam di masjid), azan kedua bagi sembahyang Jumaat, meletakkan titik di dalam mushaf dan amalan Maulid Nabi.

24. Bincangkan tentang sihir.

Jawapan: Melakukan sihir adalah haram. Allah تعالى berfirman:

"Dan Nabi Sulaiman tidaklah kafir, tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir, hal keadaan mereka mengajar sihir kepada manusia (dengan meyakini perkara ini sebagai suatu yang halal dan boleh)". (Surah al-Baqarah: 102)

Dalam satu hadis ada dinyatakan:

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:"Kamu hendaklah menjauhi tujuh perkara yang membinasakan". Baginda ditanya: "Apakah tujuh perkara itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: "Menyekutukan Allah, sihir…". (Diriwayatkan oleh Muslim)

25. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa orang yang melempar lembaran yang mengandungi nama Allah ke tempat kotor dengan maksud perlecehan atau penghinaan itu kafir?

Jawapan: tidak boleh melempar suatu lembaran atau kertas yang mengandungi nama Allah ke tempat kotor atau menjijikkan. Orang yang berbuat demikian dengan maksud perlecehan atau penghinaan itu adalah kafir.

Allah تعالى berfirman:

"…Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka): "Apakah terhadap Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu boleh memperolok-olokkan! Tidak perlu kamu meminta maaf, sebenar kamu telah menjadi kafir setelah kamu beriman". (Surah al-Tawbah: 65-66)

Ibn ^Abidin berkata:

"Dan orang (sengaja) melempar mushaf ke tempat kotor atau menjijikkan terkeluar dari Islam meskipun dia tidak bermaksud untuk memperleceh atau menghina kerana perbuatannya itu menunjukkan penghinaan atau perlecehan"

26. Apakah hukum bernazar?

Jawapan: Boleh bernazar dalam perkara ketaatan kepada Allah atau pendekatan diri kepada rahmat Allah dan wajib memenuhi nazar tersebut. Adapun nazar dalam perkara yang diharamkan oleh Allah maka hukumnya haram dan tidak wajib dipenuhi.

Allah تعالى berfirman:

"Mereka (sentiasa) memenuhi nazar".(Surah al-Insan: 7)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Barangsiapa bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya, dan barangsiapa bernazar untuk bermaksiat kepada-Nya maka janganlah dia bermaksiat kepada-Nya". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

27. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa suara perempuan itu bukan aurat?

Jawapan: Allah تعالى berfirman:

"Dan katakanlah (wahai isteri-isteri Nabi) dengan perkataan yang baik". (Surah al-Ahzab: 22)

Al-Ahnaf ibn Qays berkata:

"Aku telah mendengar hadis dari mulut Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali. Dan aku tidak pernah mendengar hadis sebagaimana aku telah mendengarnya dari mulut ^A'ishah". (Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitab beliau al-Mustadrak)

28. Bincangkan tentang sifat Kalam Allah.

Jawapan: Allah bersifat kalam (berkata-kata) tidak seperti kalam kita. Sifat kalam-Nya bukanlah suatu huruf, suatu suara dan suatu bahasa.

Allah تعالى berfirman:

"Dan Allah benar-benar memperdengarkan kalam-Nya kepada Musa". (Surah al-Nisa': 164)

Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitab beliau al-Fiqh al-Absat:

"Dan Allah bersifat kalam yang tidak seperti sifat kalam kita, dan kita berbicara atau berkata-kata dengan anggota percakapan, huruf dan tempat keluar huruf sedangkan Allah berkata-kata tanpa suatu alat dan suatu tempat keluar huruf".

29. Apakah makna firman Allah dalam Surah Taha ayat 5)?

Jawapan: Al-Imam Malik berkata:

"Istawa (استوى) seperti yang Allah mensifatkan Zat-Nya, tidak boleh dikatakan bagaimana tentangnya (istawa), dan bagaimana mustahil bagi-Nya"

Bagaimana (bentuk) adalah sifat makhluk dan antara sifat makhluk ialah duduk, mendiami, bertempat dan berpihak.

Al-Imam al-Qushayri berkata:

"Istawa bererti menjaga, menguasai dan menetapkan".

Tidak boleh beriktikad bahawa Allah duduk atau bersemayam di atas arasy kerana pegangan ini adalah akidah Yahudi dan di dalam akidah ini terdapat pendustaan terhadap firman Allah تعالى ini:

"Maka janganlah kamu mengadakan sebarang persamaan bagi Allah" (Surah al-Nahl, ayat 74)

Allah تعالى berfirman:

"Dan merakaberkumpul untuk dihisab oleh Allah Yang Maha Esa lagi Maha Menundukkan dan Menguasai". (Surah Ibrahim: 48)

Sayyidina Ali رضي الله عنه وكرم وجهه berkata:

"Sesungguhnya Allah menciptakan arasy untuk menampakkan kekuasaan-Nya dan bukanlah Allah mengambilnya sebagai suatu tempat bagi zat-Nya". (Diriwayatkan oleh Abu Mansur al-Baghdadi)

30. Bincangkan tentang Qadar.

Jawapan: Segala sesuatu yang terjadi di alam ini terdiri daripada kebaikan dan keburukan, ketaatan dan kemaksiatan serta keimanan dan kekufuran adalah dengan takdir, kehendak dan ilmu Allah. Kebaikan, keimanan dan ketaatan ditentukan dengan takdir Allah dengan kesukaan dan keredaan-Nya. Manakala kejahatan, kemaksiatan dan kekufuran ditentukan dengan takdir Allah tanpa kesukaan dan keredaan-Nya. Namun takdir Allah yang merupakan sifat-Nya yang azali dan abadi itu tidak boleh disifatkan dengan kejahatan atau keburukan.

Allah تعالى berfirman:

Maknanya: "sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu dengan suatu ukuran (ketentuan)". (Surah al-Qamar: 49)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

Maknanya: "Segala sesuatu (terjadi) dengan suatu ukuran (ketentuan Allah) meskipun kebodohan dan kepintaran". (Diriwayatkan oleh Muslim)

31. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa seorang lelaki berjabat tangan dengan perempuan itu haram?

Jawapan: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Jika salah seorang di kalangan kamu ditusuk dengan suatu besi di kepalanya, maka itu lebih ringan baginya daripada (disiksa kerana) menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya". (Diriwayatkan oleh al-Daruqutni)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Dan zina kedua tangan itu ialah sentuhan". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

32. Bincangkan tentang pembacaan al-Quran untuk orang yang telah meninggal dunia.

Jawapan: Pembacaan al-Quran untuk orang Islam yang telah meninggal dunia dibolehkan.

Allah تعالى berfirman:

"Dan lakukanlah kebaikan". (Surah al-Hajj: 77)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Kamu bacalah Surah Yasin untuk orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu". (Diriwayatkan dan disahihkan oleh Ibn Hibban)

Ahlu`l-Haqq (Ulama Ahli`s-Sunnah wa`l Jama^ah) berijma^ bahawa pembacaan al-Quran untuk orang yang telah meninggal dunia dibolehkan dan ada manfaatnya.

Al-Imam al-Shafi^i berkata:

"Jika mereka membaca sesuatu dari al-Quran di sisi kubur seorang muslim maka itu suatu perkara yang baik. Jika mereka seluruh al-Quran maka itu lebih baik". (Dinaqalkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitab beliau Riyadu`s -Salihin)

33. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa orang yang telah meninggal dunia boleh mendapat manfaat dengan sedekah?

Jawapan: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia maka amal perbuatannya (yang dapat terus mengalirkan pahala untuknya) terputus kecuali tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang akan mendoakan untuknya". (Dirwayatkan oleh Muslim)

Ketiga-tiga perkara tersebut adalah antara perkara yang boleh diambil manfaat oleh seorang muslim yang telah meninggal dunia kerana perkara-perkara itu menjadi sebab dalam hal ini.

Demikian juga Allah تعالى berfirman:

"Dan sesungguhnya tiada (balasan) bagi manusia melainkan (berdasarkan) apa yang telah diusahakan". (Surah al-Najm: 39)

Yakni kebaikan yang telah dilakukan oleh si mati sendiri bermanfaat baginya, manakala kebaikan orang lain untuk si mati yang bukan perbuatannya sendiri itu pula bermanfaat baginya dengan anugerah dan kelebihan Allah ke atasnya. Contohnya solat jenazah yang bukannya perbuatan si mati tetapi dia yang dapat manfaat dengan solat tersebut.

Demikian juga doa Rasulullah صلى الله عليه وسلم untuk orang lain. Doa itu bukanlah perbuatan orang yang didoakan tetapi dia mendapat manfaat dengan doa Baginda صلى الله عليه وسلم itu, seperti doa Baginda صلى الله عليه وسلم untuk Ibn ^Abbas رضي الله عنهما:

"Ya Allah! Kurniakanlah baginya ilmu hikmah dan ilmu takwil al-Quran". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

34. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa Qiyam Ramadan (Solat Tarawih) boleh dilakukan lebih dari 11 rakaat?

Jawapan: Allah تعالى berfirman:

"Dan lakukanlah kebaikan supaya kamu berjaya". (Surah al-Hajj: 77)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Solat malam itu dilakukan dua rakaat dua rakaat. Apabila ada di kalangan kamu bimbang masuk waktu subuh maka lakukanlah solat Witir satu rakaat". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Solat adalah suatu amalan paling baik, maka barangsiapa yang mahu dia boleh menyedikitkan bilangan rakaatnya dan barangsiapa mahu dia boleh memperbanyakkan bilangan rakaatnya [Solat yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah solat sunat atau nafil bukannya solat fardu]". (Diriwayatkan oleh Muslim).

35. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa boleh menggunakan rebana?

Jawapan: Terdapat satu hadis yang berbunyi:

“Seorang perempuan berkata kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم: "Sesungguhnya aku telah bernazar untuk memukul rebana di hadapanmu jika Allah mengembalikanmu dalam keadaan selamat". Baginda صلى الله عليه وسلم pun bersabda: "Jika engkau telah bernazar maka penuhilah nazarmu itu". (Diriwayatkan oleh Abu Dawud)

36. Siapakah nabi dan rasul yang pertama?

Jawapan: Nabi dan rasul yang pertama ialah Adam عليه السلام. Allah تعالى berfirman:

"Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh…(sebagai nabi)". (Surah Al ^Imran: 33)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Adam dan selainnya dari kalangan para nabi berada di bawah panjiku pada hari kiamat". (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi)

37. Apakah sifat wajib bagi para nabi dan sifat mustahil bagi mereka?

Jawapan: Para nabi wajib (pasti pada akal) bersifat benar, amanah, pintar, menjaga diri dari perbuatan tercela, berani, fasih atau petah berbicara. Mereka mustahil bersifat dusta, khianat, kecelaan, zina, semua dosa besar dan kekufuran sebelum kenabian dan selepas kenabian.

Allah تعالى berfirman:

"Dan semuanya (para nabi itu) kami melebihkan darjat mereka ke sekalian makhluk". (Surah al-An^am: 86)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Allah tidak mengutus seorang nabi pun melainkan tampan rupanya dan merdu suaranya". (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi)

38. Apakah makna firman Allah تعالى dalam Surah al-Ikhlas ayat 3?

Jawapan: Makna firman Allah di atas ialah Allah tidak berasal dari sesuatu dan tidak ada suatu pun yang menjadi pecahan dari-Nya (seperti Dia tidak beranak). Oleh itu, Allah tidak menempati sesuatu, tiada suatu pun yang terlepas atau terpecah dari-Nya dan tiada suatu pun yang menempati-Nya.

Al-Imam Ja^far al-Sadiq berkata:

"Barangsiapa yang beranggapan bahawa Allah di dalam sesuatu, daripada sesuatu atau di atas sesuatu maka sesungguhnya dia telah menjadi musyrik". (Diriwayat oleh al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah)

39. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa boleh berselawat Nabi صلى الله عليه وسلم selepas azan?

Jawapan: Boleh berselawat ke atas Nabi صلى الله عليه وسلمselepas azan dan tidak perlu hiraukan orang yang mengharamkannya. Allah تعالى berfirman:

"Sesunggunya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya". (Surah al-Ahzab: 56)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

Apabila kamu mendengar muazzin (mengumandangkan azan) maka ucapkanlah seperti yang diucapkannya kemudian berselawatlah ke atasku". (Diriwayat oleh Muslim)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Barangsiapa yang menyebutku [Meliputi sama ada setelah seseorang itu menyebut, mendengar atau menulis nama, gelaran dan kata ganti nama Baginda صلى الله عليه وسلم.] maka hendaklah berselawat ke atasku". (Diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi)

40. Apakah maksud riddah? Dan berapakah bahagiannya?

Jawapan: Riddah ialah terputusnya keislaman dengan sebab kekufuran. Riddah terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Riddah Qawliyyah (perkataan) seperti mencaci atau memaki Allah atau para nabi atau Islam meskipun dalam keadaan marah.

2. Riddah Fi^liyyah (perbuatan) seperti melempar mushaf al-Quran ke tempat-tempat yang kotor dan memijak mushaf al-Quran.

3. Riddah Qalbiyyah (hati) seperti beriktikad bahawa Allah itu adalah suatu jisim atau benda atau roh atau bahawa Dia duduk atau bersemayam di atas arasy atau bahawa Dia mendiami atau berada langit atau di setiap tempat dengan zat-Nya atau berpegang bahawa Dia berada di suatu penjuru atau pihak.

Allah تعالى berfirman:

"Dan sebenarnya mereka telah mengatakan perkataan kufur dan mereka telah kafir setelah keislaman mereka". (Surah al-Tawbah: 74)

Allah تعالى berfirman:

"Janganlah kamu sujud kepada matahari dan bulan". (Surah Fussilat: 37)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Sesungguhnya boleh terjadi seorang hamba mengucapkan perkataan (yang menghina Allah, para nabi atau syariat-Nya) yang dia tidak menganggapnya sebagai bahaya, (sedangkan perkataan itu) boleh menjerumuskannya ke dalam (dasar) neraka (yang kedalamannya) lebih jauh daripada jarak di antara timur dan barat". (Diriwayatkan Muslim dan al-Bukhari)

41. Apakah dalil yang menunjukkan boleh menyambut Maulid Nabi?

Jawapan: Allah تعالى berfirman:

"Dan lakukanlah kebaikan supaya kamu berjaya". (Surah al-Hajj: 77)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Barangsiapa yang merintis (memulai) dalam Islam suatu perbuatan yang baik, maka dia mendapat pahala perbuatan tersebut…". (Diriwayatkan oleh Muslim)

42. Apakah maksud sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ وَإِذَا اسْتَعَنتَ فَاسْتَعِن بِاللهِ?

Jawapan: Makna hadis ini termasuk dalam bab keutamaan iaitu bahawa yang paling utama dimohon dan diminta pertolongan adalah Allah. Namun hadis ini tidak pula bermakna: "Jangan kamu memohon dan meminta pertolongan kepada selain Allah". Hal ini sama seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban:

Maknanya: "Janganlah engkau bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan janganlah makananmu dimakan melainkan oleh orang yang bertaqwa".

Hadis di atas bermakna bahawa orang yang paling utama untuk diberikan makanan ialah orang yang bertaqwa dan orang yang paling utama untuk dijadikan sahabat atau kawan ialah orang yang beriman. Hadis tersebut tidak membawa makna bahawa haram memberi makanan kepada orang yang tidak bertaqwa dan haram bersahabat dengan orang bukan mukmin.

Sesungguhnya Allah memuji orang Islam di dalam al-Quran dengan firman-Nya:

"Dan mereka memberikan makanan mereka kerana Allah kepada orang miskin, anak yatim dan orang (kafir yang menjadi) tawanan". (Surah al-Insan: 8)

Sebenarnya di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada diceritakan tentang tiga orang yang terperangkap di dalam sebuah gua memohon kepada Allah agar mereka dapat keluar dari gua itu dengan wasilah amal soleh mereka, kemudian Allah memlepaskan mereka dari terperangkap.

43. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa kaum lelaki dan kaum perempuan dibolehkan untuk menziarahi makam Nabi صلى الله عليه وسلم?

Jawapan: Ziarah makam Nabi صلى الله عليه وسلم disunatkan dengan ijma^ seperti yang dinaqalkan oleh al-Qadi ^Iyad dan al-Nawawi.

Allah تعالى berfirman:

"Sesungguhnya jika mereka ketika menzalimi diri sendiri (dengan berbuat dosa) kemudian mereka mendatangimu lalu memohon keampunan kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan keampunan buat mereka, nescaya mereka mendapati bahawa Allah adalah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang". (Surah al-Nisa': 64)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Barangsiapa yang menziarahi makamku maka pasti dia mendapat syafaatku". (Diriwayatkan oleh al-Daruqutni dan dinilai sebagai kuat oleh al-Hafiz al-Subki)

Adapun hadis yang berbunyi:

(Makna yang zahir): "Tidak boleh bersungguh-sungguh untuk melakukan perjalanan kecuali perjalanan ke tiga masjid (al-Masjid al-Haram, Masjid Nabawi, al-Masjid al-Aqsa)".

Maka makna sebenar hadis di atas ialah barangsiapa yang mahu bermusafir dengan tujuan mendirikan solat di suatu masjid maka sepatutnya dia pergi bermusafir ke tiga masjid yang berkenaan kerana bersembahyang di dalam masjid-masjid tersebut melipatgandakan pahala. Anjuran atau saranan di dalam hadis tersebut sebagai sunat bukannya wajib. Oleh itu, hadis tersebut dikhususkan dengan perjalanan dengan tujuan solat dan tidak dinyatakan pula di dalam hadis tersebut bahawa tidak boleh menziarahi makam Nabi صلى الله عليه وسلم.

44. Apakah dalil yang menunjukkan boleh mengambil berkat (tabarruk)?

Jawapan: Perbuatan mengambil berkat dengan Nabi صلى الله عليه وسلم dan bekas atau peninggalan Baginda صلى الله عليه وسلم dibolehkan. Allah تعالى berfirman tentang Nabi Yusuf عليه السلام:

"Kamu pergilah membawa bajuku ini kemudian letakkanlah baju ini di wajah ayahku nescaya dia boleh melihat kembali". (Surah Yusuf: 93)

Satu hadis menyatakan:

"Rasulullah صلى الله عليه وسلم membahagi-bahagikan dan mengedarkan rambutnya di kalangan orang ramai supaya mereka mengambil berkat dengan rambut itu". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

45. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa boleh memakai tangkal (hirz) yang mengandungi ayat al-Quran dan seumpamanya dan tidak mengandungi kata-kata, rajah-rajah atau angka-angka (yang tidak difahami atau tidak jelas maknanya) yang diharamkan?

Jawapan: Allah تعالى berfirman:

Maknanya: "Dan kami menurunkan suatu dari al-Quran itu sebagai penawar atau penyembuhan dan sebagai rahmat bagi orang-orang yang beriman". (Surah al-Isra': 82)

Satu hadis menyatakan:

Abdullah ibn ^Amr berkata: "Kami pernah mengajar beberapa ayat al-Quran kepada anak-anak kecil kami, manakala anak yang belum baligh pula kami menulis ayat-ayat tersebut di atas suatu kertas dan menggantungkannya di atas dadanya". (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi)

46. Bincangkan tentang dhikru`llah (menyebut nama Allah) ketika mengiringi jenazah?

Jawapan: Menyebut nama Allah ketika mengiringi jenazah hukumnya boleh tanpa ada khilaf.

Allah تعالى berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah (sebutlah) nama Allah dengan suatu zikir (sebutan) yang banyak". (Surah al-Ahzab: 41)

Allah تعالى berfirman:

"Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring". (Surah Al ^Imran: 191)

Satu hadis menyatakan:

"Rasulullah صلى الله عليه وسلم berzikir (mengingati) Allah dalam setiap keadaan". (Diriwayatkan oleh Muslim)

47. Bincangkan tentang takwil.

Jawapan: Takwil ialah mengeluarkan nas (al-Quran dan Hadis) dari kefahaman zahirnya. Takwil dibolehkan terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang zahirnya membawa kekeliruan bahawa Allah mempunyai anggota tangan atau anggota muka, atau bahawa Dia duduk di atas arasy atau mendiami di sesuatu arah atau pihak, atau bahawa Dia disifatkan dengan suatu sifat daripada sifat-sifat makhluk. Allah تعالى berfirman:

"Dan tidak ada yang mengetahui tentang takwilnya (ayat-ayat mutashabihat) kecuali Allah dan orang-orang mendalam ilmunya". (Surah Al ^Imran: 7)

Dalam suatu hadis diriwayatkan bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم telah berdoa untuk Ibn ^Abbas رضي الله عنهما, iaitu:

"Ya Allah! Kurniakanlah baginya ilmu hikmah dan ilmu takwil al-Quran". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ibn Hibban dan al-Hafiz Ibn al-Jawzi)

48. Apakah dalil yang menunjukkan bahawa iman adalah syarat penerimaan segala amal soleh?

Jawapan: Allah تعالى berfirman:

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh dari kalangan lelaki atau perempuan sedang dia seorang yang beriman (ertinya ini sebagai syarat), maka mereka itu akan memasuki syurga dan mereka tidak akan dianiaya sama sekali". (Surah al-Nisa': 124)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Perbuatan atau amalan yang paling utama (secara mutlaknya) ilah beriman dengan Allah dan Rasul-Nya". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

49. Apakah makna firman Allahتعالى dalam Surah al-Qasas ayat 88?

Jawapan: Al-Imam al-Bukhari mentakwil firman Allah ¼çmygô_ur žwÎ) daripada ayat di atas dengan katanya:

"kecuali kekuasaan-Nya"

Al-Imam Sufyan al-Thawri berkata:

"…kecuali sesuatu yang bertujuan untuk mendapatkan reda Allah iaitu amal soleh"

50. Apakah makna firman Allah تعالى dalam Surah al-Mulk ayat 16?

Jawapan: Seorang ahli tafsir al-Fakhr al-Razi dalam kitab tafsirnya dan Abu Hayyan al-Andalusi dalam kitab tafsirnya al-Bahr al-Muhit:

"Yang dimaksudkan dengan Ïä!$yJ¡¡9$# Îû `¨B (yang berada di langit) ialah para malaikat"

Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat tersebut bukanlah bahawa Allah berada atau mendiami langit.

51. Apakah makna firman Allah dalam Surah al-Dharriyyat ayat 47?

Jawapan: Ibn ^Abbas رضي الله عنهما berkata:

"(yang maksudkan dengan) 7&÷ƒr'Î/ ialah dengan kekuasaan"

Oleh itu, yang dimaksudkan dengan perkataan يد dari segi bahasa Arab dalam konteks ayat di atas bukanlah anggota tangan kerana Allah Maha Suci dari sifat demikian.