Ahad, 15 Julai 2007

AKIDAH PARA ULAMA

Alhamdulillah, Tuhan Pencipta alam, wujudNya azali tanpa permulaan dan abadi tanpa pengakhiran. Selawat dan salam keatas nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat baginda.

Allah ta’ala telah berfirman :
" واعبد ربك حتى يأتيك اليقين "
Yang bermaksud :
“ Maka sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan (ajal) ”. Al-Hijr, ayat 99.

Di dalam ayat ini Allah Subhanahu wa ta’ala telah memerintahkan kita semua agar bertetapan di dalam keimanan yang sebenar sehinggalah datang kepada kita kematian. “ keyakinan ” di dalam ayat ini bermaksud kematian, kerana dengan bertetapan dalam keimanan itulah memberi keselamatan daripada kekalnya di dalam api neraka selama-lamanya.

Ketahuilah bahawa sesiapa yang mati di dalam akidah yang salah jelas, bercanggah dengan agama Allah maka susulan kehidupan baginya adalah api neraka yang amat pedih tidak pula terputus azab baginya dan tidak sama sekali dapat keluar dari neraka. Akidah yang salah, jelas bercanggah dengan agama islam adalah seperti kepercayaan bahawa Allah itu adalah jisim, cahaya, ruh, bertempat, duduk dan sebagainya daripada kepercayaan yang terkeluar landasan asas akidah islam.

Ini semua telah di nyatakan oleh Allah ta’ala di dalam al-quran :
" ان الله لعن الكافرين وأعد لهم سعيرا . خالدين فيها ابدا لا يجدون وليا ولا نصيرا "
Yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Allah melaknati orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang menyala-nyala. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya tidak pula memperoleh seorang pelindung dan tidak jua memperoleh seorang penolong ”. Al-Ahzab, ayat 64, 65.

Maka, bertetapan di dalam akidah ulama islam iaitu akidah ahlil haq tidak lain dan tidak bukan adalah akidah ahli suunah wal jamaah merupakan satu-satunya jalan untuk terselamat dari berkekalan dalam api neraka Allah di hari akhirat kelak.Akidah yang sebenar merupakan keimanan yang sebenar dan keimanan inilah merupakan syarat utama pada kesahihan amalan ibadah tanpa ia maka tidak akan diterima segala ibadah. Allah ta’ala telahpun menerangkan dengan firmanNya :
"ومن يعمل من الصالحات من ذكر أو أنثى وهو مؤمن فأولئك يدخلون الجنة ولا يظلمون نقيرا "
Yang bermaksud:
“ Sesiapa yang melaksanakan amalan soleh dari kalangan lelaki mahupun wanita dalam keadaan mereka beriman maka mereka akan di masukkan ke dalam syurga dan mereka tidak diazab sedikitpun ”. An-nisa, ayat 124.

Ketahuilah akidah para ulama diantaranya adalah pegangan bahawa Allah ta’ala wujud tidak boleh ada keraguan pada kewujudanNya, Dia tidak menyerupai sesuatupun dari makhlukNya bermakna Dia tidak menyerupai manusia, malaikat, jin, tumbuh-tumbuhan dan makhluk-mahluk yang lain, Dia tidak serupa dengan jisim kasif (jisim yang mampu dipegang oleh tangan) mahupun jisim latif (jisim yang tidak mampu dipegang oleh tangan).

Ketahuilah juga bahawa mihwar I’tiqad ( lingkungan akidah) seorang muslim itu adalah terdiri dari akal yang sempurna dan bukanlah dari wahm ( tanggapan semata-mata) kerana tanggapan semata-mata membayangkan sesuatu yang pada hakikatnya tidak pernah berlaku contohnya ketika seseorang melihat laut ketika matahari terbenam wahm-nya akan mengatakan padanya bahawa langit itu tercantum dengan laut dan matahari itu turun menuju ke dasar laut, akan tetapi sebenarnya bukanlah sedemikian. Ini bermakna kita perlu merujuk kepada akal yang sempurna bukan berpegang dengan tanggapan semata-mata.

Allah tidak boleh dibayangkan zatNya dan jawapan terhadap golongan yang membayangkan zat Tuhan

Jika kita ditanya : bagaimana kita menyembah sesuatu yang tidak boleh dibayangkan?
Kita katakan padanya: Diantara makhluk ciptaan Allah kita tidak mampu membanyangkannya iaitu waktu ketika sebelum diciptakan cahaya dan belum lagi dicipta kegelapan, adakah mampu kita membayangkan satu ketika dahulu tiada cahaya dan tiada kegelapan? sudah pasti kita tidak mampu, akan tetapi wajib kita beriman bahawa pernah satu ketika dahulu tidak wujudnya cahaya dan kegelapan kerana Allah telah berfirman :
" ألحمد لله الذي خلق السماوات والأرض وجعل الظلمات و النور"
Yang bermaksud :
“ Segala puji bagi Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi, dan mengadakangelap dan terang ”.( Al-An’am, ayat 1)

Ini menunjukkan bahawa kita tidak mampu untuk membayangkan satu ketika dahulu tiada cahaya dan tiada kegelapan maka lebih patutlah zat Allah kita tidak mampu untuk membayangkanNya. Allah ta’ala telah menyifatkan diriNya:
" ليس كمثله شيء"
Yang bermaksud :
“ Tiada sesuatupun yang serupa dengan Dia ”.( As-Syura, ayat 11)