Ahad, 15 Julai 2007

PENGENALAN KEPADA ILMU KALAM

Alhamdulilah, Tuhan yang telah memerintah hambaNya untuk mengenaliNya, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad, yang mengajak manusia mengenali Tuhan sekelian alam dengan dakwahnya. Allah Berfirman:
فَاعْلََمْ أَنَّهُ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ(Muhammad ayat 19)
Yang bermaksud:
'' Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang haq) melainkan Allah, dan mohonlah keampunan bagi dosamu''

Sesungguhnya ilmu mengenali Allah dan sifat-sifatNya merupakan ilmu yang paling
Mulia dan wajib. Ilmu ini dinamakan ilmu usul, ilmu tauhid dan ilmu akidah. Nabi Muhammad SWT telah mengkhususkan dirinya dalam kemuliaan ilmu ini dengan sabda baginda:
أَنَا أَعْلَمُكُمْ بِاللهِ وَأَخْشَاكُمْ لَهُ
Yang bermaksud:
"Aku yang paling mengenali Allah dan lebih takut kepadaNya daripada kalangan kamu".

Maka ilmu aqidah adalah ilmu yang paling penting dan paling mulia untuk dipelajari. Dinamakan juga ilmu ini yang beserta dengan dalil akal dan dalil naqli daripada Al-quran dan As-sunnah sebagai ilmu kalam. Dinamakan ilmu ini sebagai ilmu kalam kerana banyaknya pencanggahan pendapat di kalangan mereka yang mendakwa sebagai beragama Islam, banyak perbahasan mengenainya dan ulama' ahli sunnah untuk menyatakan kebenaran yakni menetapkan kebenaran.

Sesetengah ulama 'pula menyatakan ilmu itu dinamakan ilmu kalam adalah kerana masaalah yang paling masyhur perselisihan pandangan padanya adalah mengenai kalam Allah, apakah ianya qadim dan ini merupakan pendapat yang benar kerana ahli sunnah menyatakan bahawa Allah mutakallim (Bersifat dengan sifat Kalam) yang azali lagi Abadi bukanlah berhuruf mahupun bersuara, bukan jua berbahasa arab, ibraniyyah, suryaniyyah dan bukan juga selainnya.

Telah berkata Imam Abu Hanifah radhiyallahu'anhu di dalam kitab beliau yang berjudul Fiqhul Absoth mengenai Allah:
وَيَتَكَلَّمُ لاَ كَكَلاَمِنَا نَحْنُ نَتَكَلَّمُ بِالآلاَتِ مِنَ الْمَخَارِجِ وَالْحُرُوْفِ وَاللهُ مُتَكَلِّمٌ بِلاَ ءَالَةٍ وَلاَ حَرْفٍ
Yang bermaksud:
''Dan Allah bersifat dengan sifat kalam tidak seperti kalam kita kerana kita berkata-kata dengan menggunakan alat (seperti mulut) akan tetapi Allah bersifat dengan sifat kalam adalah tidak memerlukan kepada alat dan huruf"

Allah ta'ala bersifat dengan sifat kalam yang tidak sama seperti kalam kita, dan tidaklah bagiNya kalam yang ada permulaan dan tidak juga ada penghujungnya, tidaklah disifatkan kalam Allah itu diam atau terputus kerana kalam Allah tanpa huruf dan tanpa suara dan bahkan ia adalah sifat bagi Allah yang tidak sama dengan sekelian kalam makhluknya.

Firman Allah ta'ala:
وَكَلَّمَ اللهُ مُوْسَى تَكْلِيْمًا
Yang bermaksud:
"Dan Allah berkata-kata dengan Musa".

Maka, ilmu tauhid merupakan ilmu yang sangat mulia dari ilmu lain kerana ilmu tauhid berkaitan dengan semulia-mulia pengetahuan, kerana Ilmu Tauhid memberi manfaat dengan mengenal Allah, kita dapat mempelajari apa yang layak bagiNya dan mengenal RasulNya seperti apa yang layak baginya dan mensucikan Allah dari apa yang tidak harus bagiNya dengan mempelajari perkara-perkara yang wajib keatas para Nabi dan mengetahui perkara yang tidak layak bagi mereka, maka adalah Ilmu tauhid itu lebih mulia dari ilmu hukum hakam.

Dan telah berkata Imam Abu Hanifah didalam kitabnya yang berjudul:Fiqhul Absat:
اعْلَمْ أَنَّ الْفِقْهَ فِى الدِّيْنِ أَفْضَلُ مِنْ فِقْهِ فِى اْلأَحْكَامِ
Yang bermaksud:
"Ketahuilah bahawa mendalami ilmu tauhid lebih mulia dari mendalami Ilmu hukum hakam".